ABU Al-Qasim Maslamah bin Ahmad atau Al-Majriti diibarat ensiklopedia matematik, astronomi dan ilmu kimia, kerana memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai sumber maklumat bidang berkenaan. Beliau dilahirkan di Majrit (Madrid) 338 Hijrah bersamaan 950 Masihi.
Beliau juga terkenal sebagai ilmuwan Islam yang sangat cemerlang di Andalus. Hakikat itu diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan.
Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan.
Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan bahawa mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains.
Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau.
Eksperimen yang terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari.
Sebagai ilmuwan yang teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia melalui proses percubaan di makmal.
Sebuah penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, iaitu sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit.
Ia adalah cakera yang dibuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan di tengahnya ada sebuah jarum penunjuk yang boleh bergerak.
Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini.
Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1252 Masihi.
Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Muamalat, Ikhtisar Ta'dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada'iq wa Riyadh Al-Khala'iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan.
Al-Majriti mempunyai ramai murid yang berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.
Sumber
Marking Weekends and EQuaLS Forum
19 hours ago