Thursday, April 12, 2012

Gempa Bumi Awal Tahun 2012....

( 11 April 2012, Acheh sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi, na selitkan beberapa berita mengenai nya di bawah ini )

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam. Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter.

Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.

Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan. Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan. “Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.

“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju. 

Gempa bumi Aceh imbau tragedi tsunami 2004

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 8.7 skala Richter yang melanda di pantai Aceh petang semalam, membawa kepada kenangan pahit tragedi gempa bumi melanda wilayah sama pada Disember 2004 yang mengorbankan 230,000 nyawa, manakala 500,000 kehilangan tempat tinggal.

Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Dalam kejadian itu, beberapa bandar utama di wilayah Sumatera Utara turut musnah selepas ombak tsunami setinggi sembilan meter ‘menyapu’ hampir bersih Banda Aceh, Calang dan Meulaboh kesan daripada gempa yang melanda Lautan Hindi.

Indonesia adalah satu-satunya negara yang paling teruk menerima kesan bencana itu, selain Sri Lanka, Thailand, India dan Malaysia.

Gempa bumi itu disifatkan kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun yang turut membunuh ratusan ribu manusia pada Perang Dunia Kedua.

Berbeza dengan tempat lain, Aceh ketika ini bukan saja menerima kesan akibat tsunami tetapi gempa bumi yang dahsyat sebelumnya ekoran pusat gempa yang berada tidak jauh dari wilayah berkenaan.

Sebelum bencana itu, Banda Aceh mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan kini jumlah penduduknya dianggarkan 300,000 orang saja.

Selain Aceh, kawasan berdekatan iaitu Pulau Nias dan Pulau Simeulue turut dilanda gempa bumi berukuran 8.7 skala Richter pada 26 Mac 2005 yang mengorbankan hampir 1,000 nyawa, genap tiga bulan selepas tragedi yang menimpa Aceh.

Aceh kini sedang dalam proses pembangunan semula selepas mengalami banyak kemusnahan prasarana hasil bantuan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).Sumber 

 Gempa kuat di Lautan Hindi
   
BANDA ACEH 11 April – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, petang ini mencetuskan panik di kalangan penduduk, yang bergegas keluar dari kediaman masing-masing bimbang tsunami pada 2004 berulang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, tiada kecederaan dan kerosakan harta benda dilaporkan akibat bencana itu yang berlaku pada kira-kira pukul 4.38 petang waktu tempatan.
“Tidak ada ancaman tsunami, walaupun kita berjaga-jaga,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang dalam rangka lawatan ke Indonesia.Cameron turut memberi jaminan, Britain bersedia membantu jika diperlukan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami di kawasan sekitar Lautan Hindi, namun memaklumkan ancaman itu telah berkurangan tetapi ia masih dikuatkuasakan.

‘‘Ia (gempa) tidak membawa tsunami yang besar. Namun, kita masih memantau keadaan itu kerana tsunami terbentuk menerusi ombak,’’ kata seorang Geofizik, Victor Sardina yang beribu pejabat di Hawaii. Gempa sekuat 8.2 pada skala Richter menyusul pada pukul 6.43 waktu tempatan.

Tsunami setinggi 0.6 meter dan 0.8 meter dilaporkan di pantai Sabang dan Meulaboh pada kira-kira pukul 6 petang (7 petang waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas gempa bumi kuat itu. Di Thailand, tsunami kecil berukuran 10 sentimeter melanda kawasan Koh Miang dekat Phang Nga.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik itu kemudiannya menarik balik amaran tsunami di Lautan Hindi tidak lama kemudian. Indonesia, Thailand, Malaysia, Sri Lanka dan India yang pernah terjejas akibat tsunami ekoran gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 2004 kemudiannya bertindak mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa berlaku.

Gempa itu berlaku 500 kilometer dari barat daya Banda Aceh, Sumatera pada kedalaman 33 kilomter, kata tinjauan Geologi Amerika Syarikat.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, bekalan elektrik di Aceh terputus akibat bencana itu, manakala orang ramai berkumpul di kawasan tanah tinggi selepas siren amaran tsunami dibunyikan. ‘‘Bekalan elektrik tiada, terdapat kesesakan lalu lintas berhampiran kawasan yang lebih tinggi.

‘‘Bunyi siren dan bacaan al-Quran kedengaran di masjid-masjid,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo.
Susilo berkata, beliau telah mengarahkan pasukan bencana untuk terbang ke Aceh bagi menghulurkan bantuan. Sumber

 Dua gempa bumi kuat di Indonesia

JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga ombak tsunami setinggi sehingga 80 sentimeter (sm) melanda pesisiran pantai Indonesia selepas satu gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter menggegarkan Pulau Sumatera semalam.

"Alat pengukur ombak dan boya kami merekodkan tsunami kecil," Pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Kristiawan.

Menurutnya, tsunami paling tinggi berukuran 80sm dicatatkan di Meulaboh, barat Aceh dengan beberapa ombak lebih kecil berlaku di kawasan pesisir pantai dekat rantau berkenaan.

Semua tsunami berlaku hampir sejam setengah selepas gempa bumi pertama melanda pada waktu petang, katanya. Selain Indonesia, tsunami kecil setinggi 10sm turut melanda Pulau Andaman di Thailand semalam.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa bumi pertama berpusat 33 kilometer di bawah dasar laut sekitar 434 kilometer dari wilayah Aceh.

Bencana tersebut menyebabkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami untuk Indonesia, India, Sri Lanka, Australia, Myanmar, Thailand, Maldives dan kepulauan lain di Lautan Hindi, Malaysia, Pakistan, Somalia, Oman, Iran, Bangladesh, Kenya, Afrika Selatan serta Singapura.
Satu gempa susulan kemudian berlaku dengan kekuatan 8.2 magnitud yang berpusat dari Banda Aceh.
Gempa bumi pertama berlaku pada pukul 3.38 petang waktu tempatan manakala yang kedua berlaku pada pukul 5.43 petang.
"Kami sekali lagi mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa kedua berlaku," kata seorang lagi pegawai Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia Prih Harjadi dalam wawancara secara langsung bersama saluran televisyen TVOne. Menurutnya, penduduk di sepanjang pantai barat Pulau Sumatera dan Mentawai telah diarahkan supaya berpindah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Gempa susulan berlaku selama empat minit dan ia kuat," kata seorang koresponden agensi berita AFP di Banda, Aceh."Orang ramai panik dan bergegas keluar dari kediaman mereka dan bangunan," tambahnya.
Amaran tsunami kemudian ditarik balik sekitar pukul 7.45 malam waktu Indonesia.

"Orang ramai boleh kembali ke kediaman masing-masing," kata Ketua Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Woro Harijono kepada saluran televisyen Metro TV.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan, Indonesia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bencana terbaharu itu. Sumber