Thursday, December 29, 2011

Calar Imej Cendekiawan: Budaya Plagiarisme

Amat memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit. Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan.

Biarpun segelintir pihak menganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat.

Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain?

Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain.

“Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’.

“Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik.

“Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur?

“Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi,” katanya.

Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan.

Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu.

“Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai.

“Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya.

“Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti.

Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

“Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai?,” katanya.

Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama.

Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa.

“Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai.

“Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya.

“Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual,” katanya.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya.

Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan.

“Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan. “Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan.

“Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.

INFO

•Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

•Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.

•Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Sumber

Wednesday, December 21, 2011

Saintis Temui Dua Planet Baru Bersaiz Bumi

Artikel terdahulu

NEW YORK: Saintis menemui dua planet bersaiz bumi yang yang berada di orbit bintang di luar sistem solar, sekali gus petanda positif dalam misi penerokaan mencari planet baru yang boleh didiami manusia selain bumi. Penemuan itu menunjukkan planet seperti itu wujud dan ia boleh dikesan, kata saintis, Francois Fressin dari Pusat Kajian Astrofizik Harvard-Smithsonian.

Beliau berkata, kedua-dua planet itu tergolong sebagai planet terkecil dalam orbit bintang yang mengelilingi matahari yang dikesan setakat ini. Saintis sejak sekian lama berusaha mencari planet berpotensi bersaiz bumi yang boleh dihuni manusia dan mahluk bernyawa lain. Penemuan Fressin itu dilaporkan dalam jurnal online - Journal Nature semalam.

Satu daripada planet itu hanya tiga peratus lebih besar daripada ukur lilit bumi manakala satu lagi antara 10 peratus lebih besar dari bumi.

Kedua-dua planet itu dilaporkan mempunyai permukaan batu-batan yang mirip bumi.

"Namun suhunya terlalu panas untuk membolehkan hidupan bernyawa tinggal kerana suhunya dianggarkan antara 815 hingga 426 darjah selsius," kata Fressin.

Beliau berkata, jika adapun tumbuhan atau hidupan bernyawa di planet itu, ia kemungkinan sebagai bakteria atau hidupan yang tidak diketahui.

Sejak NASA menjalankan misi mencari planet baru menerusi teleskop gergasi Kepler, agensi angkasa itu sudah menemui puluhan planet bersaiz bumi.

Namun penemuan Fressin itu adalah yang pertama mempunyai pengesahan, kata Alan Boss dari Institut Sains Carnegie di Washington.

Beliau juga salah seorang anggota pasukan saintis Kepler. Kedua-dua planet itu dinamakan sebagai Kepler-20e dan Kepler-20f. - AP

Sumber

Sunday, December 11, 2011

3,000 Saksi Gerhana Bulan Penuh


Gerhana bulan penuh yang dirakam di Johor Bahru, malam tadi. – Mingguan/ raja jaafar ali

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kira-kira 3,000 pengunjung bertumpu di Planetarium Negara untuk menyaksikan gerhana bulan penuh yang terakhir pada tahun ini bermula pukul 7.35 malam hingga 1.30 pagi.

Fenomena itu hanya dapat disaksikan semula oleh rakyat Malaysia pada 2014.

Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari dan Timbalannya, Dr. Nordin Ahmad turut menyertai orang ramai menyaksikan fenomena itu.

Azreena ketika ditemui berkata, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan apabila ia melintasi bayang bumi.

“Gerhana pada malam ini bermula dengan fasa penuh penumbra pada pukul 7.34 malam (waktu tempatan), tetapi kesan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayangan penumbra bumi yang kurang gelap.

“Gerhana jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi mulai pukul 8.46 malam sehingga gerhana maksimum pada pukul 10.32 malam ini.

“Bulan akan mula keluar daripada bayang umbra bumi pada pukul 10.57 malam dan keluar sepenuhnya pada pukul 12.18 tengah malam ini,” katanya

Sumber

Pencarian Kembar Bumi

PENYELIDIKAN untuk membuktikan kewujudan makhluk asing seperti yang digambarkan dalam filem Hollywood seperti E.T. dan Avatar sudah lama dimulakan. Begitupun, belum ada bukti yang dapat menyokong teori itu.


Malah, hidupan lain seperti bakteria dan tumbuh-tumbuhan di bulan atau planet lain juga tidak diketahui kewujudannya.


TELESKOP Kepler yang meneroka angkasa luar.
 Bagaimanapun, penemuan sebuah planet baharu yang mempunyai banyak persamaan dengan bumi awal minggu ini oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat memberi dimensi baru dalam penyelidikan tentang kehidupan di angkasa lepas.

Diberi nama Kepler -22b, planet yang terletak di luar sistem suria bumi itu berada di dalam zon boleh dihuni.

Ia mempunyai suhu selesa yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk seakan musim bunga iaitu sekitar 22 darjah Celcius.

Bahkan, keadaan geofizikalnya yang mempunyai air dan tanah melengkapkan lagi potensi terbaik planet tersebut untuk menampung kehidupan.

Dengan saiz 2.4 kali lebih besar berbanding bumi, planet itu ditemui melalui teleskop Kepler milik NASA yang dilancarkan pada tahun 2009 untuk mencari planet-planet baru.

"Penemuan Kepler -22b adalah satu sejarah baharu manusia.

"Sebelum ini pakar astronomi pernah menjumpai dua planet di dalam zon sama tetapi ia tidak mampu menampung kehidupan," ujar Profesor Astronomi di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS), Geoff Marcy.

Persamaan


ASTEROID Lutetia yang dikatakan material asal yang membentuk Bumi, Zuhrah dan Utarid.














Geoff yang juga perintis usaha mencari planet di luar sistem suria bumi menjelaskan, penemuan planet baharu ini membuktikan penerokaan NASA untuk mencari planet serupa bumi tidak sia-sia.

"Walaupun perlu meneroka jauh di luar angkasa, kita sebenarnya semakin hampir dengan matlamat itu," katanya.

Selain suhu yang selesa, tanah dan air, Kepler -22b yang jaraknya dikatakan 15 peratus lebih dekat dengan bintang seakan matahari berbanding bumi.

Kepler turut mengelilingi 'bintang matahari' itu dalam tempoh 290 hari setahun iaitu hampir menyamai 365 hari setahun di bumi.

Sejak dilancarkan pada akhir 2009, Geoff dan Pasukan Teleskop Angkasa Lepas Kepler telah berjaya mengenal pasti 1,200 planet namun penemuan sebelum ini dikenal pasti tidak mempunyai ciri sesuai untuk dihuni.

Misi yang menelan berbilion dolar itu dilancarkan untuk mencari planet seakan bumi dengan merentasi permukaan bintang asing.

Oktober lalu, NASA mendedahkan sebuah kapal angkasa miliknya telah menjumpai sistem tiga planet luar biasa yang mengandungi satu planet Super Bumi dan dua planet bersaiz Neptun mengorbit bintang seakan matahari kita.


"Teleskop Angkasa Kepler menemui tiga planet di sekitar bintang Kepler-18, yang 10 peratus lebih besar daripada matahari kita dan mengandungi 97 peratus jisim matahari," ujar Bill Cochran, ketua pengkaji di Universiti Texas.

Jelasnya, sistem asing juga boleh menjadi perumah kepada lebih banyak planet daripada apa yang telah ditemui setakat ini.

Kesemua tiga planet yang diberikan nama Kepler-18b, c dan d itu mengorbit lebih dekat dengan bintang induknya berbanding Utarid mengelilingi matahari.

Calon planet

Bagaimanapun, planet Kepler-18b mengorbit lebih dekat dengan bintang induknya, iaitu mengambil hanya 3.5 hari untuk melengkapkan putarannya.

"Planet yang mempunyai jisim kira-kira enam kali jisim bumi dan dua kali saiz planet kita, menjadikan planet Kepler-18b sebagai Super Bumi," jelasnya.

Kepler-18c pula mengambil masa 7.6 hari untuk mengorbit bintang induknya dan 5.5 kali lebih besar daripada bumi, dan mempunyai jisim yang hampir sama dengan 17 buah bumi.

Kepler-18d mengambil masa 14.9 untuk mengorbit dan kira-kira tujuh kali lebih besar daripada bumi dengan jisim 16 kali jisim bumi.

Berdasarkan anggaran ini, planet c dan d adalah layak sebagai dunia 'Kelas Neptun' berketumpatan rendah.

Sementara itu, menurut Ketua Penyiasat Sains Misi Kepler NASA, William Borucki, planet-planet di sekeliling Kepler-18 membantu ahli astronomi kerana aktiviti orbit antara Kepler-18c dan Kepler-18d menunjukkan bahawa mereka mestilah berada di dalam sistem planet yang sama.

"Tetapi untuk membuktikan identiti Kepler-18b sebagai Super Bumi merupakan sesuatu yang rumit," katanya.

Sehingga kini, Kepler telah menemui 1,235 'calon' planet yang sedang menunggu pengesahan melalui pemerhatian susulan.

Daripada jumlah itu, 54 planet dikenal pasti berada dalam zon Goldilocks.

Misi utama Kepler bukanlah untuk mengenal pasti planet mana yang mempunyai hidupan namun ia sekadar petunjuk kepada ahli astronomi mengenai planet yang berpotensi untuk hidupan.


Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 50 bilion planet di dalam galaksi Bima Sakti dengan lebih kurang 500 juta daripadanya terletak di zon Goldilocks yang mempunyai iklim sesuai untuk hidupan.

"Satu daripada empat bintang yang serupa dengan matahari dalam galaksi Bima Sakti didapati menempatkan banyak planet bersaiz bumi sekali gus mencadangkan bahawa sistem yang menampung kehidupan seperti di bumi mungkin lebih banyak terdapat berbanding jangkaan sebelum ini," ujar Borucki.

Boleh dihuni

Dia turut memberitahu, pasukan penyelidiknya telah mengenal pasti 200 bintang yang mempunyai planet dalam zon boleh didiami.

Saintis mengambil masa bertahun-tahun bagi mengenal pasti terdapat 100 bilion bintang di dalam Bima Sakti.

Namun, pada tahun lepas di Yale, saintis mendapati jumlah tersebut menghampiri 300 bilion bintang.

Saintis Kepler, Natalie Batalha berkata, jumlah tersebut melibatkan galaksi Bima Sakti sahaja dan terdapat 100 bilion galaksi.

"Pertambahan jumlah bintang yang ditemui menimbulkan persoalan adakah terdapat hidupan lain di alam semesta dan jawapannya tidak diketahui.

Walaupun jarak Kepler -22b itu jauhnya 600 tahun atau 5,760 trilion kilometer dari bumi, keadaan itu bukan halangan untuk para saintis angkasa lepas mengkaji tentangnya," kata Natalie.

Sumber