Amat memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit. Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan.
Biarpun segelintir pihak menganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat.
Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain?
Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.
Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain.
“Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’.
“Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik.
“Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur?
“Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi,” katanya.
Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.
Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan.
Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu.
“Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai.
“Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya.
“Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti.
Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.
“Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai?,” katanya.
Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama.
Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa.
“Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai.
“Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya.
“Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual,” katanya.
Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya.
Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan.
“Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan. “Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan.
“Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.
INFO
•Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.
•Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.
•Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.
Sumber
Marking Weekends and EQuaLS Forum
1 day ago
No comments:
Post a Comment