TOKYO: Jepun meminta bantuan Russia untuk menghantar loji rawatan radiasi terapung miliknya bagi menangani tahap radiasi loji nuklear Daiichi Fukushima yang mencapai beberapa juta kali ganda melebihi paras selamat sejak beberapa hari lalu.
Loji Suzuran adalah antara loji rawatan sisa nuklear terbesar di dunia yang merawat cecair radioaktif dengan bahan kimia untuk membekukannya sebelum disimpan dalam bentuk simen. Suzuran mampu memproses 35 meter padu sisa cecair sehari dan 7,000 meter padu setahun. Loji itu kerap digunakan untuk melupuskan kapal selam nuklear. Namun, setakat ini belum ada maklumat menyatakan bila loji itu akan tiba di Fukushima.
Pada masa sama, jurutera di loji itu juga merancang membina dua benteng besar menggunakan fabrik polister dalam laut bagi menyekat lebih banyak pencemaran dari loji terbabit.
Kelmarin, jurutera loji itu cuba menutup lubang konkrit di reaktor nombor 2 dengan kertas surat khabar yang dihancurkan, bahan kimia polymer, habuk kayu dan simen bagi menyekat pengaliran air radioaktif ke laut. Bagaimanapun, usaha itu gagal.
Tokyo Electric Power (TEPCO) berkata ia sudah mengalirkan 11,500 tan air tercemar dari loji berkenaan ke laut bagi memberi lebih banyak ruang penyimpanan air yang mempunyai paras radioaktif lebih tinggi.
TEPCO juga mula membayar wang ihsan kepada penduduk yang terpaksa berpindah dari kawasan dekat loji Fukushima, kira-kira 20 juta yen (RM714,000).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, syarikat itu berkata, jumlah pengaliran air radioaktif ke dalam laut tidak akan memberi ‘kesan serta-merta’ kepada alam sekitar, tetapi pada pihaknya sedang berusaha menyekat kebocoran itu secepat mungkin.
“Sampel yang diambil pada 2 April menunjukkan bahawa air laut berhampiran salah satu reaktor itu mengandungi 7.5 juta kali ganda radioaktif melebihi paras selamat. Bagaimanapun semalam jumlahnya berkurangan kepada lima juta,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, penganalisis berkata, pengaliran air radioaktif ke laut berpunca daripada tindakan jurutera dan pekerja di loji itu mengepam air ke dalam reaktor dan membiarkan ia mengalir.
“Kaedah ini adalah proses yang sukar tetapi ia dapat menghalang pencairan bahan api yang akan membebaskan lebih banyak sisa radioaktif ke alam sekitar,” katanya.
Langkah itu bermakna air akan memenuhi loji dan sebahagiannya mengalir ke lautan. Pekerja kini terpaksa mencari ruang bagi menyimpan air radioaktif itu kerana ia juga menghalang usaha memulihkan sistem penyejuk. – Reuters/Agensi
Sumber
Marking Weekends and EQuaLS Forum
1 day ago
No comments:
Post a Comment