Saturday, November 9, 2013

Taufan Haiyan landa Filipina- Terkuat di Dunia 2013

MANILA - Taufan paling kuat di dunia pada tahun ini telah melanda Filipina semalam, menyebabkan lebih sejuta penduduk melarikan diri dan bekalan elektrik terputus serta memusnahkan banyak rumah.

Angin taufan Haiyan peringkat 5 bergerak menuju wilayah Cebu dan pulau pelancongan Boracay, Leyte serta Samar dengan kelajuan mencecah 275 kilometer sejam (km/j). Ia turut menyebabkan ombak setinggi lima hingga enam meter.

Tenaga elektrik dan talian komunikasi di tiga buah pulau iaitu Samar, Leyte dan Bohol terputus tetapi pihak kerajaan dan syarikat rangkaian telekomunikasi berjanji akan berusaha memulihkan perhubungan dalam masa 24 jam.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada lebih 12 juta penduduk termasuk 2.5 juta penduduk yang berada bandar Cebu berhubung taufan tersebut.

Penduduk di Filipina masih trauma dengan gempa bumi 7.2 pada skala Ritcher yang berlaku pada bulan lalu sehingga mengorbankan banyak nyawa.

"Ribut kencang melanda dengan kelajuan angin hampir 313km/j," kata seorang pengarah meteorologi Amerika Syarikat, Jeff Masters.

Ribut dan taufan yang membawa angin kencang boleh menyebabkan bumbung dan dinding tercabut.
Menurut penyelaras Migrasi Organisasi Antarabangsa di Bohol, Lionel Dosdosa, gempa bumi kuat yang berlaku pada 15 Oktober lalu telah mengorbankan 222 orang dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.

Hampir sejuta penduduk telah berpindah untuk mencari tempat perlindungan selepas Presiden Benigno Aquino menggesa supaya penduduk yang tinggal di tebing sungai, lereng-lereng bukit dan di pesisiran pantai yang terdedah kepada taufan Haiyan agar segera berpindah. - Agensi

Sumber



No comments:

Post a Comment