JIKA anda inginkan kelainan menjamu selera dalam suasana istimewa, antara perkara yang menjadi pertimbangan tentulah penyediaan makanan yang enak dan sempurna serta persekitaran yang selesa.
Sekiranya anda berkunjung ke Universiti Putra Malaysia (UPM) atau berada di sekitar Serdang-Putrajaya, bertandanglah ke L'apprenti yang terletak berhampiran pintu 8 UPM melalui Lebuh Silikon.
Diberi nama L'apprenti@Putra Restaurant, restoran lima bintang yang merupakan buah tangan dari Kompleks Perkhidmatan Makanan/ Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, UPM ini memiliki sentuhan hiasan dalaman tersendiri.
Sesuai dengan konsep 'fine dining' yang diketengahkan, restoran ini disuntik dengan penataan mewah ala Barat.
Di ruang lobi misalnya, penggayaan perabot, perhiasan serta kemasan dinding warna tanah seperti coklat, emas dan rona krim lembut menjadikan ruangan ini tampil eksklusif dan elegan.
"Biasanya, sebelum memasuki restoran, tetamu akan duduk bersantai di ruangan ini terlebih dahulu. Sekiranya ada majlis khas melibatkan orang kenamaan, ruang lobi ini juga akan dijadikan bilik menunggu.
"Percaya dengan penataan ringkas tetapi memiliki ciri eksklusif, ia secara tidak langsung memberi kelebihan fungsi kepada ruang ini. Selain bilik menunggu atau lobi bersantai, ia juga boleh dijadikan ruangan mesyuarat atau tempat berlangsungnya majlis sidang akhbar," ujar Penasihat L'apprenti, Dr. M. Shahrim Ab. Karim.
Sesuai dengan kapasitinya sebagai penasihat di restoran gaya mewah ini, Shahrim adalah orang yang bertanggungjawab menata rias L'apprenti.
Bermula daripada pemilihan warna, perabot, susun atur, reka letak hinggalah kepada penataan cahaya, boleh dikatakan ia adalah hasil garapan Shahrim sambil dibantu kakitangannya.
Menurut Shahrim, paparan dekorasi restoran yang indah merupakan terapi penting tatkala menikmati hidangan lebih-lebih lagi jika pelanggan yang berkunjung mengharapkan layanan istimewa.
"Paduan warna yang sempurna dapat menzahirkan perasaan yang bagus dan tenang. Sungguhpun ia adalah restoran, penataan warna dan cahaya tidak diabaikan, malah kita yakin ia dapat membangkitkan suasana santai dan tenang," ujarnya.
Kerawang melingkar
Pengalaman Shahrim belajar, bekerja dan berkunjung ke beberapa restoran terbaik di New York, Amerika Syarikat (AS), tidak hanya sekadar menjadi kenangan terindah dalam hidupnya, sebaliknya titipan dari bumi Uncle Sam itu turut dijadikan inspirasi dalam menghias L'apprenti.
"Lebih 10 tahun saya berada di AS, pelbagai jenis restoran saya kunjungi dan berdasarkan pengalaman itu, saya cuba tampilkan yang terbaik buat L'apprenti.
"Bukan tidak mahu mengetengahkan rekaan gaya Melayu yang kaya dengan kerawang atau ukiran tradisional, namun untuk gaya yang lebih praktikal dan sesuai untuk pelbagai majlis serta tema, rekaan santai dan ringkas begini lebih mudah untuk disuaipadankan.
"Lantaran itu, ilham restoran terbaik dipilih untuk dilampiaskan pada segenap restoran yang direnjis gaya moden bersulamkan kontemporari ini," jelas Shahrim.
Terletak di sebalik pintu kaca yang memiliki tombol kerawang melingkar, L'apprenti kelihatan kemas, luas dan selesa.
Itu mungkin gambaran awal yang dapat diberikan untuk ruangan menjamu selera ini.
Dengan kemasan jubin dari warna pastel, ia diselangi dengan tempelan kayu berlaminasi di ruangan tengah restoran menuju ke pentas ringkas yang terletak selari dengan pintu masuk restoran.
Penataan yang ringkas dan kemas di setiap sudut memainkan peranan penting dalam mempersembahkan mood ruang yang lebih selesa.
Kebijaksanaan memilih perabot daripada kayu maharani membangkitkan sisi elegan ruangan yang boleh menempatkan 60 hingga 75 tetamu pada satu-satu masa.
Kemasan jalinan rotan yang halus di bahagian sandar kerusi yang ditempah khas membuktikan elemen Melayu masih diterapkan di restoran yang m yang bermaksud perintis dalam bahasa Perancis.
Aliran trafik antara meja dan ruang yang disusun secara harmoni bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang berkunjung tetapi juga buat kakitangan restoran.
"Kedudukan meja yang diatur menganjur ke hadapan menjadikan ruang tidak terlalu sarat. Ia penting bagi menjamin keselesaan tetamu yang datang menjamu selera di sini.
"Di bahagian kiri restoran pula, pengunjung dapat menikmati panorama sekitar dari kawasan balkoni yang sedang dalam perancangan untuk dinaik taraf kepada teres," ujar Shahrim.
Selain bungaan segar dari jenis orkid berwarna putih dan ungu yang dijadikan pemanis ruang, gubahan daripada gabungan pasta kering antara hiasan yang dapat dilihat di L'apprenti.
Harga serendah RM6
Dengan lingkaran fetucini, cacakan spageti angel hair serta susunan berbagai jenis kekacang dan bijirin, ia berjaya menyuntik kelainan. Apa yang pasti, ia jauh lebih murah malah boleh didapati dari dapur sendiri.
Kaunter bufet dan bar mini yang ditempatkan di bahagian sisi restoran turut dilengkapi dengan panel khas di sebelah atasnya.
Berfungsi sebagai pemamer perhiasan serta kelengkapan dapur yang diperbuat daripada kaca dan gangsa itu membangkitkan wajah ruang yang lebih bergaya.
Mula beroperasi sejak Januari 2010, restoran L'apprenti menyajikan pelbagai jenis hidangan tempatan dan Barat kepada pengunjungnya.
Dengan persekitaran bernuansa mewah, harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Mana tidaknya, untuk hidangan tempatan yang menjadi kegemaran pengunjung di sini iaitu nasi goreng kampung, ia boleh dinikmatin dengan harga RM6 sahaja!
Sumber
No comments:
Post a Comment